Pengalaman di UPM!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pengunjung blog saya.

Ini adalah kali pertama saya menulis blog dan sebelum saya memulakan sebarang entri, saya mahu menyatakan bahawa blog saya yang diberi nama 'Diari Seorang Pelajar' adalah kerana kita akan sentiasa belajar di mana jua kita berada. Walaupun kita sudah mempunyai segulung ijazah sekali pun, kita akan sentiasa belajar didalam hidup kita ini. Mahupun sekecil-kecil pengajaran yang kita belajar di muka bumi ini seperti berbuat baik dengan semua makhluk yang ada di muka bumi ini, kita tetap akan belajar.


Image result for upm


Baiklah, dengan ini, saya akan menulis entri saya yang pertama iaitu pengalaman di Universiti Putra Malaysia.

Pada 1 September 2019, saya telah medaftarkan diri di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi. Saya adalah lepasan Asasi Sains Pertanian di UPM, maka, selok belok di sini telah pun saya hafal dan ingati. Selepas pendaftaran pada hari pertama, ibu bapa saya menghantar saya ke kolej saya dan mereka hanya menemani saya dalam 1 jam sahaja. Ini adalah kerana, mereka juga perlu pulang ke rumah oleh sebab esoknya adalah hari berkerja. Saya pun bersalaman dengan mereka sebelum mereka pulang. Pesan mereka, "Jagalah diri kakak dan belajarlah rajin-rajin.". Setelah mereka beransur pulang, saya pula mula mengemas barang yang dibawa dan dalam masa yang sama, berkenalan dengan rakan sebilik saya. Sesudah itu, bermulalah perjalananku sebagai seorang penuntut ijazah di Universiti Putra Malaysia.


Pada malam itu, telah bermulanya minggu orientasi pelajar tahun 1. Minggu itu dipanggil Minggu Perkasa Putra. Program orientasi ini merangkumi pelbagai orientasi iaitu orientasi kolej, orientasi fakulti dan juga orientasi universiti. Sejujurnya, orientasi ini amat memenatkan dan sesetengah dari kami harus tidur lewat kerana sebahagian daripada program-program yang dianjurkan itu tamat lewat dari masa yang sepatutnya. Namun begitu, pengalaman orientasi itu sukar didapati dan pada waktu itu sahaja kami dapat mengenali sesama sendiri. Sebagai contoh aktiviti-aktiviti yang dilakukan adalah Taklimat Fakulti dan Pendaftaran Kursus dan Majlis Ikrar Bersama Naib Canselor. Semua aktiviti yang dilakukan ini ada tujuannya tersendiri. Sebagai contoh, majlis ikrar dilakukan bagi pelajar tahun 1 untuk menerima mereka sebagai penuntut UPM yang sah.


UPM juga mempunyai lokasi yang strategik dimana sebagai pelajar, kami senang untuk mencari barang-barang keperluan dan mempunyai kemudahan awam yang lengkap. Sebagai contoh, di kolej kami terdapat dobi tersendiri dengan harga yang rendah. Tambang 'grab' untuk pergi ke tempat seperti IOI City Mall dan Sri Serdang hanyalah RM10 dan RM6. Jikalau hendak dibandingkan dengan tempat lain, pelajar agak susah untuk dapat tambang yang berpatutan. UPM juga menyediakan bas khas untuk ke stesen KTM tanpa memerlukan apa-apa tambang dan bayaran. Tetapi, jikalau hendak mengejar masa, saya lebih memilih untuk mengambil khidmat 'grab' sahaja untuk ke KTM.

Tenaga pengajar di sini juga daripada orang-orang yang berkaliber dan bersemangat tinggi untuk mengajar dan memberikan kefahaman kepada kami. Saya merupakan seorang pelajar asasi sains dan sceara jujurnya, saya agak kekok dan buntu kerana saya telah meninggalkan banyak perkara yang tidak berkaitan dengan sains setelah tamatnya SPM. Tetapi, dengan adanya para pensyarah di sini, mereka telah membimbing dan menggalakkan saya untuk sentiasa bertanya jikalau saya ada soalan. Mereka juga sedia membantu dengan apa jua soalan yang telah diajukan oleh mahasiswa dan mahasiswi.

Sepanjang satu bulan saya di UPM, saya berasa amat gembira kerana saya dapat berjumpa dan berkenalan dengan ramai orang daripada berbilang kaum dan dari serata tempat. Saya juga telah belajar untuk mengagihkan masa saya dengan cekap supaya saya dapat melakukan banyak perkara dalam satu masa. UPM adalah tempat yang terbaik sebagai sebuah IPTA yang dapat mengajar dan mendorong pelajar untuk sentiasa aktif dalam bidang akademik dan kokurikulum. Akhir kata, saya amat sarankan pelajar-pelajar lepasan STPM, Diploma, STAM, Asasi dan Pra-U untuk memilih UPM sebagai tempat pengajian anda!

Comments