Pengembaraan ke Pulau Redang!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pengunjung blog saya.

Topik saya pada hari ini adalah pengalaman pengembaraan saya. Jadi saya akan menceritakan serba sedikit tentang pengalaman saya ke salah sebuah tempat peranginan yang terkenal di Malaysia iaitu Pulau Redang.

Saya bukanlah seseorang yang kerap melancong. Hal yang demikian kerana ibu bapa saya adalah orang yang sentiasa sibuk berkerja. Maka, kali terakhir kami melancong bersama adalah ke Pulau Redang yang terletak di Terengganu. Percutian ini ditanggung sepenuhnya oleh rakan bapa saya kerana ini merupakan percutiaan yang juga merupakan hal kerja bapa saya. Percutiaan ini telah berlaku pada cuti sekolah pada awal tahun 2016 semasa saya masih lagi dibangku sekolah.




Image result for laguna resort di pulau redang

 Laguna Redang Island Resort di Terengganu


Ini adalah hotel yang saya dan keluarga saya, serta beberapa lagi keluarga rakan-rakan kepada ayah saya telah menetap. Hotel ini diberi nama Laguna Redang Island Resort. Kami ke sana selama 3 hari 2 malam, di mana ia adalah jangka masa yang optimum untuk melancong. Sesampainya kami ke sana, saya dan keluarga diberikan sebuah bilik yang mempunyai satu katil berukuran 'queen-sized' dan bilik itu gak besar dan sangat selesa untuk kami sekeluarga. Bilik hotel kami juga menghadap kolam renang yang terdapat di resort tersebut.


Image result for bilik laguna resort di pulau redang

Salah sebuah bilik di pusat peranginan.


Pada hari pertama, kami sampai sekitar lewat petang. Jadi, kami tidak melakukan banyak aktiviti kerana semua orang yang pergi bersama kami masih dapat merasakan keletihan pada tubuh badan kami. Kami dan keluarga-keluarga yang lain meletakkan beg-beg pakaian dan barang-barang kami ke dalam bilik kami dan berehat. Pada malam itu, kami sekeluarga hanya keluar untuk pergi makan malam yang telah disediakan dan mengambil keputusan untuk berjalan di sekitar resort tersebut. Pada waktu malam, pusat peranginan tersebut amatlah hidup kerana terdapat satu kumpulan 'buskers' yang sedang melakukan persembahan dihiasi dengan lampu-lampu berwarna-warni. Persembahan dilakukan untuk pengunjung yang sedang bersiar-siar di kawasan sekitar resort.


Pada hari kedua, kami telah mula melakukan pelbagai aktiviti. Pada waktu pagi, kami telah ke lobi resort dan di tingkat atasnya, terdapat tempat menjamu selera para pengunjung hotel. Makanan yang disajikan di resort itu amatlah sedap dan seperti hotel-hotel atau resort-resort yang lain, makanannya amatlah berbaloi jikalau dikenakan bayaran lebih sekalipun. Usai kami makan, semua keluarga di situ diarahkan untuk gerai snorkeling di mana kami perlu mengambil jaket keselamatan dan set snorkeling seperti gambar di bawah,


Image result for snorkeling equipment  Image result for snorkeling equipment life jacket

Contoh set snorkeking dan jaket keselamatan. 


Yang istimewanya dengan tempat-tempat yang menyediakan khidmat snorkeling, mereka ada 'goggle' yang mempunyai kuasa seperti cermin mata untuk orang-orang yang rabun. Ini memberikan peluang kepada orang seperti saya yang bermata empat untuk melihat dengan lebih jelas lagi hidupan yang berada di laut. Kesemua keluarga pergi ke sebuah pulau yang terletak tidak jauh dari situ dan memulakan aktiviti snorkeling kami. Alangkah gembiranya kami apabila dapat melihat hidupan laut dan terumbu karang yang amat cantik di situ. Lautnya yang biru dan airnya yang jernih memudahkan lagi kami untuk melihat hidupan laut yang berada di dalam air. Kami meluangkan masa untuk snorkeling dari jam 10.30 pagi sehingga dalam sekitar 1.30 petang. Kami menaiki perahu bermotor untuke ke destinasi tersebut. Kami pulang lalu beredar untuk makan tengah hari sebelum pulang ke bilik untuk beristirahat. Lupa saya hendak beritahu! Semasa hari pertama kami pergi bersiar-siar di sekeliling pulau, keluarga saya telah mendaftar untuk suatu aktiviti yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dimana aktiviti itu adalah aktiviti melepaskan anak penyu yang baru menetas kedalam laut. Sebagaimana yang anda tahu, UMT merupakan universiti yang amat aktif didalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan laut dan hidupan di dalamnya. Maka, pada petang itu, saya dan adik-beradik saya telah diberikan peluang untuk melepaskan dua ekor anak penyu ke dalam laut dan peluang itu adalah perkara yang paling saya tidak dapat lupakan sehingga ke hari ini. Kami melepaskan anak penyu tersebut sekitar jam 6 petang. Selepas itu, kami menyambung rutin malam kami seperti solat dan makan malam.

Pada hari terakhir iaitu hari ketiga, kami telah pergi snorkeling semula dengan beberapa keluarga yang datang bersama kami. Tetapi kelainannya pada hari ini, kami pergi bersnorkeling bersama penyu! Tetapi alangkah sedihnya kerana bapa saya dan rakan sekerjanya harus pergi ke sebuah perkampungan untuk menjalankan hal kerja mereka. Seperti biasa, kami semua bersarapan bersama keluarga sebelum kami memulakan aktiviti yang berbeza. Kami menaiki perahu bermotor pada jam 10.30 pagi dan kami ke kawasan dimana penyu itu berada. Tidak jauh dari situ, terdapat Taaras Beach and Spa Resort, sebuah lagi resort di Pulau Redang. Setelah perahu kami berhenti, terdepat beberapa ekor penyu yang datang kearah kami. Pemandu perahu dan beberapa lagi orang pekerjanya, telah mengeluarkan sebaldi sotong untuk diberikan kepada penyu-penyu tersebut. Kami dibenarkan untuk turun dan memberi makan kepada penyu tersebut dan bersnorkeling bersama penyu-penyu itu. Ia merupakan antara pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan kerana saya dapat berada sangat dekat bersama haiwan yang sangat jarang ditemui lagi sekarang.

Itulah serba sedikit aktiviti yang masih terpahat di dalam minda saya. Maafkan saya kerana tidak dapat meletakkan gambar pengalaman saya kerana gambar-gambar tersebut masih di rumah manakala saya di kolej saya. Segala tutur kata dan bicara yang salah, saya memohon maaf dari hujung rambut sehingga hujung kaki kerana tidak dapat menyempurnakan blog ini kerana ingatan saya yang agak samar. Saya harap semua pengunjung blog saya rasa tertarik untuk pergi melancong ke Pulau Redang. Semoga berjumpa di entri yang seterusnya!

Comments